Enam korban kebocoran cecair nitrogen di kilang Atlanta

Kebocoran cecair nitrogen di sebuah kilang pemprosesan makanan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 11 yang lain di bandar raya Atlanta kelmarin, menurut polis.

Terdapat lima kematian yang disahkan di tempat kejadian akibat kebocoran, kata polis dari Gainesville, Georgia kepada wartawan, dengan pihak berkuasa kesihatan menambah bahawa 12 orang dikejarkan ke hospital termasuk seorang anggota bomba, kesemua mereka mengalami masalah per-nafasan.

“Salah seorang daripada mereka meninggal dunia di hospital,” kata Zachary Brackett dari Balai Bomba Hall.

Tiga yang lain dalam unit rawatan rapi, lima dalam keadaan baik dan tiga dibenarkan keluar dari hospital pada petang hari yang sama, menurut pegawai kesihatan wilayah, Sean Couch.

Kebocoran itu tidak me-nyebabkan letupan dan puncanya, yang belum diketahui, masih dalam siasatan, kata polis.

Penyiasat berharap untuk dapat memasuki bangunan pada lewat hari, kata jurucakap polis, Derreck Booth.

Kemalangan berlaku pada jam 10 pagi waktu tempatan apabila satu saluran cecair nitrogen di kilang pemprosesan ternakan ayam itik, terletak di Daerah Hall di tenggara negeri itu pecah, kata naib presiden syarikat, Nicholas Ancrum.

“Sehingga siasatan selesai, kami tidak dapat menyatakan bagaimana kemalangan ini berlaku,” kata Ancrum, yang syarikatnya terletak di Gainesville, Georgia, kira-kira 50 batu dari timur laut Atlanta.

Beliau berkata, 130 pekerja sudah dipindahkan.

Mangsa yang terkorban adalah pekerja penyelenggaraan, penyelia dan pengurus, kata Ancrum.

Seorang pemandu trak yang menyaksikan kejadian itu berkata, dua hingga tiga orang pengsan ketika keluar dari bangunan dan responden pertama menggesa semua pekerja meninggalkan kilang itu.

“Hanya memikirkan tentang keluarga semua orang, mereka yang kehilangan nyawa ketika bekerja,” kata pemandu trak yang hanya mahu dikenali Jackie R.

“Ia menunjukkan bagai-mana semuanya berlaku dengan cepat.”

Pelajar di sekolah berhampiran tidak dibenarkan meninggalkan bilik kelas mereka buat sementara ketika laporan awal mencadangkan ada letupan berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here