Demokrasi hanya direhatkan, Shabery bidas Tun M

Sidang Dewan Rakyat hanya digantung sementara dan bukannya selamanya.

Itu bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuatkan Yang di-Pertuan Agong nampak seperti diktator.

“Demokrasi hanya direhatkan buat seketika. Mungkin sebab terlalu kuat bekerja, demokrasi bolehlah tidur dulu,” katanya di Facebook rasminya hari ini.

Bekas menteri UMNO itu berkata sidang Dewan Rakyat yang direhatkan bukan isu memandangkan pandemik Covid-19 adalah satu isu besar yang sedang giat ditangani oleh Malaysia dan juga mana-mana negara di dunia.

“Mungkin agak kesunyian kerana tiada Parlimen. Kalau jadual biasa, sidang Parlimen tahun ini sepatutnya bermula bulan Mac. Sunyi di bulan Februari bukanlah isu besar,” kata Shabery.

Semalam, dalam satu siaran langsung khas di Facebook, Mahathir mendakwa ordinan darurat yang tidak membenarkan sesiapa mempersoalkan darurat di mahkamah bererti kerajaan memerintah secara kuku besi.

Bekas Pengerusi Pakatan Harapan itu juga berkata Muhyiddin menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong yang menggambarkan Agong sebagai diktator yang zalim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here