ISU SUGARBOOK: Tindakan pantas KPT

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ingin menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dibawah pimpinan YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad diatas keprihatinan KPT dalam menangani isu tidak bermoral ‘sugarbaby‘ ini.

KPT yang diwakili oleh YBrs. Dr. Mohd. Suzeren Md. Jamil, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi pada hari ini telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu ini.

Isu ini pada hakikatnya telah menjejaskan nama baik universiti dan pelajar itu sendiri. SKMM juga telah bersetuju untuk bekerjasama bagi menangani isu ini.

Hasilnya, semakan pada petang ini mendapati laman web Sugarbook telah disekat oleh SKMM. MPPK amat menghargai tindakan pantas dan proaktif yang telah dilakukan bagi menyelamatkan akhlak dan sahsiah mahasiswa ini.

Tahniah juga diucapkan kepada institut pengajian tinggi (IPT) seperti UiTM dan juga pihak-pihak lain yang telah membuat laporan kepada pihak PDRM berkenaan isu ini.

MPPK berharap agar wujudnya satu solusi yang bersesuaian dalam meningkatkan jati diri dan sahsiah mahasiswa supaya perkara sebegini tidak berulang.

MPPK juga berharap rakan-rakan mahasiswa dijauhkan daripada aktiviti yang tidak bermoral ini. Sekiranya mengalami kesusahan atau masalah terutamanya berkaitan kewangan, MPPK memohon agar rakan-rakan mahasiswa memaklumkan kepada pihak IPT masing-masing bagi mendapatkan sebarang bantuan yang bersesuaian.

Sekian, terima kasih.

 

Memartabat Mahasiswa Malaysia

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here