Brisbane calon pilihan anjur Sukan Olimpik 2032: IOC

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), mengumumkan pada Rabu bahawa Brisbane adalah calon pilihan untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2032 dan berkata ia akan memulakan ‘dialog bersasar’ dengan penganjur bidaan.

“Suruhanjaya penganjur masa depan IOC mencadangkan bahawa jawatankuasa eksekutif merancang satu dialog bersasar dengan Brisbane dan Jawatankuasa Olimpik Australia untuk penganjuran Sukan Olimpik 2032,” kata presiden IOC, Thomas Bach.

“Jawatankuasa eksekutif sebulat suara menerima cadangan ini.”

Kali terakhir Australia menganjurkan Sukan Olimpik adalah di Sydney pada 2000.

Bidaannya ialah untuk Sukan Olimpik diadakan di negeri Queensland, dengan Brisbane sebagai hub utama.

Terdapat laporan minat dari India dan bandar raya Shanghai di China sementara Qatar pada tahun lepas mengesahkan ia merancang untuk membida.

Satu kemungkinan bidaan bersama di antara Korea Selatan dan Utara juga dibayangkan sementara Jerman juga ada menyuarakan keinginan untuk menganjurkan Sukan Olimpik di wilayah utara negara itu, Rhine-Westphalia.

Bagaimanapun, semua harapan bidaan itu mungkin terkesan dengan berita pada Rabu tetapi Bach menegaskan IOC menerima “minat dari pelbagai pihak”, walaupun beliau tidak mengenal pasti mereka.

“Ia bukan satu keputusan tidak memilih calon lain, ia satu keputusan tentang calon pilihan,” kata Bach.

Beliau menjelaskan bahawa tiada keputusan akhir mengenai tuan rumah penganjur telah dibuat tetapi “perbincangan lebih lanjut” dengan Brisbane akan bermula walaupun beliau tidak memberikan tarikh.

Sesi seterusnya IOC ialah pada bulan Mac, dengan satu lagi sesi dijadualkan pada bulan Julai.

Bidaan akan memberi fokus sekitar Brisbane dan Gold Coast, yang sudah memiliki infrastruktur sukan yang baik.

Gold Coast menganjurkan Sukan Komanwel 2018, sementara Brisbane dilengkapi 21 venue sukan.

Australia juga pernah menganjurkan Sukan Olimpik di Melbourne pada 1956.

Bidaan juga mendapat sokongan John Coates, presiden Jawatankuasa Olimpik Australia dan seorang naib presiden IOC yang berpengaruh.

Pemberian hak penganjuran Sukan Olimpik 2023 adalah yang pertama kali berlaku dengan cara pemilihan baharu yang diterima pakai pada Jun 2019 dalam usaha untuk menangani yuran permohonan dan kekurangan bidaan serius.

Untuk Sukan Olimpik 2024, Bach kecewa dengan proses yang  “menghasilkan terlalu banyak bidaan lemah” selepas Rom, Hamburg dan Budapest menarik diri dari bidaan.

Pada September 2017, IOC memberikan penganjuran Sukan Olimpik 2024 kepada Paris dan 2028 kepada Los Angeles.

IOC sejak itu menubuhkan suruhanjaya “penganjur masa depan”.

Ia dipengerusikan oleh Kristin Kloster Aasen dan sembilan anggota yang bukan dari suruhanjaya eksekutif IOC.

Bach berkata kritikan mengenai proses pemilihan adalah salah.

“Semua peraturan diluluskan sebulat suara oleh sesi IOC pada 2019… untuk memastikan keseluruhan prosedur kurang kos, mengelak sebarang campur tangan tidak perlu dan mengurangkan karenah birokrasi,” kata beliau.

Kloster memberi amaran bahawa pemberian hak penganjuran 2023 kepada Brisbane adalah ‘bukan satu perjanjian selesai’.

Coates sementara itu mengakui pengumuman Rabu lepas adalah ‘satu langkah penting.’

Namun beliau bersikap berhati-hati bahawa “ia sangat jelas bahawa kami harus terus bekerja-keras.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here