Geotapak Taman Eko Rimba Bukit Ayer Perlis yang dianggarkan berusia 485 juta tahun bernilai tinggi dan sukar ditemui kawasan lain di Malaysia.
Ia terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Bintang dengan kawasan meliputi 3.72 hektar. Taman Eko Rimba Bukit Ayer (TERBA) ini adalah di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
Taman ini merupakan tempat popular untuk aktiviti mandi-manda dan riadah utama penduduk Perlis selain Taman Eko Rimba Gua Kelam dan Pusat Rekreasi Bukit Jernih.
Keunikan tapak ini bukan sahaja terletak pada keindahan kawasan persekitaran dan sungai yang nyaman, tetapi ia juga merupakan geotapak yang mempunyai geologi struktur primer dan sekunder yang menjadikan geotapak ini unik dan layak mendapat tempat sebagai geotapak ‘travertine’ Sungai Batu Pahat.
Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia pada tahun 2019 melibatkan pemetaan terperinci geotapak ini telah mengumpulkan data untuk membolehkan pemuliharaan dan perkongsian maklumat secara umum dilakukan untuk manfaat bersama dengan pengesahan kehadiran ‘stromatolite’ dan ‘travertine’ di air terjun taman ini.