Kuala Lumpur, Jan 11.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mula mencari sumber baharu bekalan bawang bagi menstabilkan harganya susulan ura-ura Pakistan bakal mengikut jejak India menyekat pengeksportan sayuran itu.
Pengerusinya Aminuddin Zulkipli berkata pihaknya menyedari permintaan terhadap bawang dijangka meningkat dalam beberapa bulan ke depan iaitu sempena perayaan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Aidilfitri.
“Kami terpaksa beralih kepada bawang dari China dan Pakistan apabila sekatan eksport dikenakan India namun ada ura-ura Pakistan juga mungkin sekat kerana masalah bekalan dihadapi mereka”, katanya kepada FMT.
Jika keadaan itu berlaku, Aminuddin berkata Fama telah mengambil persediaan dengan mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi mengelakkan masalah bekalan berkurangan pada musim perayaan.
Menurutnya, pihaknya juga akan bertemu wakil kerajaan India dan Pakistan supaya mereka dapat menghentikan sekatan secepat mungkin.
“Kami akan berusaha untuk bertemu G2G (kerajaan kepada kerajaan) iaitu mengadakan lawatan dan berbincang dengan kerajaan India dan Pakistan secepat mungkin supaya mereka dapat menghentikan sekatan itu,” katanya.