HTM dilarang edar risalah, ceramah orang awam di Johor

Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang kegiatan seperti menyebarkan risalah mahupun ceramah secara terbuka kepada orang awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Tosrin Jarvanthi (pix) berkata hal ini kerana fahaman HTM sudah difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor kerana bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 “Sebarang kegiatan (HTM) menyebarkan dokumen atau risalah serta mengadakan ceramah dan kempen secara terbuka di tempat awam adalah tidak dibenarkan sama sekali oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“JAINJ juga tidak akan berdiam diri dan akan menentang habis-habisan segala kegiatan HTM,” katanya kepada Bernama selepas Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Daerah Kulai, di Kampung Sri Gunung Sri Pulai, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Facebook rasmi HTM yang didapati memuat naik video aktiviti menyebarkan risalah kepada orang awam di negeri ini.

Tosrin berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kegiatan itu.

“Setakat ini tiada laporan diterima, tetapi tindakan akan diambil.

“Bahagian Penguatkuasa JAINJ akan ambil tindakan dan mengenal pasti mana-mana tempat yang mereka edar risalah atau buat ceramah dan sebagainya sebelum dibawa kepada Bahagian Pendakwaan,” katanya.

Tahun lepas, JAINJ dilaporkan telah mengeluarkan surat saman kepada HTM bagi menuntut keterangan daripada kumpulan fahaman itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here