Kebersihan Pantai

Usaha menjaga kebersihan pesisir pantai di sekitar daerah Mersing adalah tanggungjawab semua termasuk pengunjung.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau Alwiyah Talib, masalah sampah di pesisiran pantai Mersing perlu diberi tumpuan yang sewajarnya.

“Kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk membersihkan kawasan pesisiran pantai termasuk mengutip sampah pada setiap minggu oleh Majlis Daerah Mersing.

“Tanggungjawab menjaga kebersihan bukan hanya terletak kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan sahaja namun ia seharusnya dilakukan bersama dikalangan masyarakat yang sedar akan kepentingan menjaga kebersihan,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) di Dataran Kembara Kampung Sri Lalang, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, menerusi program ini kita dapat menggalakkan dan menerapkan sikap menjaga kebersihan pantai dalam kalangan orang ramai terutamanya para penduduk kampung.

“Usaha seumpama ini juga dapat membantu memelihara dan memulihara pesisiran pantai daripada pelbagai ancaman termasuk kerosakkan habitat marin,” ujarnya.

Alwiyah turut menasihati masyarakat setempat agar tidak menuding jari menyalahkan orang lain sekiranya pesisir pantai di daerah ini kotor dan tidak terjaga.

“Jika semua pihak bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan persekitaran maka pantai di daerah ini mampu bebas tanpa sampah.

“Saya berharap setiap pengunjung tidak kira penduduk setempat mahupun pelancong luar supaya tidak sama sekali meninggalkan sampah di kawasan pantai kerana ia bukan sahaja akan menjejaskan ‘pandangan’ tetapi turut memberi kesan kepada alam sekitar,” ujarnya lagi.

KOMTIS merupakan anjuran Pejabat Penerangan Daerah Mersing dengan kerjasama daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Mersing, Pejabat Perpaduan dan Integrasi Daerah Mersing serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Mersing.

Pada program tersebut, turut diadakan demonstrasi memadamkan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Mersing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here