Seramai 200 kakitangan Hospital Miri di Sarawak telah dikuarantin ekoran 20 daripadanya didapati positif Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zhin Hing (gambar) berkata, buat masa ini pihaknya terpaksa mengawal bilangan orang ramai yang datang ke hospital dan hanya hadir menerusi temujanji khususnya di Klinik Pakar Hospital Miri.
Namun, katanya pihak hospital tetap meneruskan khidmat membekal ubat kepada pesakit di Klinik Hospital Pakar berkenaan.
“Saya nak maklumkan bahawa perkhidmatan Klinik Pakar Hospital Miri akan kembali seperti biasa selepas situasi Covid-19 di Miri pulih kelak,” jelas beliau.
Dr Chin turut memberitahu dari 1 hingga semalam (22 Januari 2021), Daerah Sibu telah mencatat jumlah kes tertinggi dengan 1,182.
Jelasnya, 236 kes dikesan menerusi pengesanan kes aktif, 652 kes menerusi pemeriksaan pandu lalu, 235 dari sampel yang diambil di Klinik Kesihatan (KK) Lanang dan 59 dari KK Sibu Jaya.
“Kebanyakan keputusan adalah sampel pertama diambil di kalangan individu yang terdedah kepada kes positif dan setakat ini terdapat 191 ujian masih menunggu keputusan,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, katanya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) dan beberapa agensi lain di Sarawak akan melaksanakan aktiviti pengesanan kes aktif (ACD) secara meluas.
Ujar beliau, ia adalah bertujuan bagi mengesan semua kes positif di negeri ini secepat mungkin, malah berupaya mengendalikan wabak daripada merebak dengan lebih luas.
“Saya berharap supaya masyarkat yang mempunyai gejala jangkitan untuk tampil menjalani ujian saringan dalam kadar yang segara.
“Dan sekiranya anda mengalami gejala seperti demam, batuk atau sakit tekak, bataskan pergerakan anda di luar rumah dan jangan pergi ke tempat kerja atau tempat awam kerana anda boleh menyebarkan penyakit ini kepada orang lain,” tegas Dr Chin.