Pulau Songsong antara destinasi diberi tumpuan rancakkan kembali pelancongan Kedah

Keindahan alam semula jadi dengan flora dan fauna yang belum diterokai sepenuhnya menjadikan Pulau Songsong di sini sebagai antara destinasi yang diberi tumpuan Tourism Malaysia bagi merancakkan kembali aktiviti pelancongan di daerah ini khususnya dan Kedah amnya.

Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abd Razak berkata menyedari potensi dimiliki pulau kecil yang tidak berpenghuni itu, pihaknya dengan kerjasama Majlis Daerah Yan (MDY) akan menaik taraf pelbagai kemudahan sesuai bagi ‘menyambut’ kehadiran pelancong.

“Kita akan melakukan kerja menaik taraf kemudahan asas seperti tandas dan surau di Pulau Songsong yang akan dilakukan dalam masa terdekat dan dijangkakan siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Dataran di Pulau Songsong ini juga akan dibina dengan kemudahan lampu di sekelilingnya dan MDY juga difahamkan akan menempatkan kakitangan di pulau itu untuk menjaga kebersihan pulau dan keselamatan pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pakej Pelancongan ke Daerah Kuala Muda dan Yan Pasca PKP, di sini, pada Khamis.

Turut diadakan aktiviti gotong-royong membersihkan pulau berkenaan anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama MDY, Komuniti Bot Pulau Songsong dan ejen pelancongan MLS Travel and Tours.

Sementara itu, Yoganthiran berkata Pulau Songsong menjadi salah satu destinasi pelancongan yang tersenarai di dalam pakej pelancongan yang baharu diperkenalkan itu selain beberapa destinasi yang ada di daerah ini dan Kuala Muda.

Katanya, pakej pelancongan yang dilancarkan dengan kerjasama MLS Travel and Tours itu bertujuan menyemarakkan semula sektor berkenaan yang terjejas teruk ekoran penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelancaran pakej pelancongan ini menunjukkan Kedah telah bersedia menerima kunjungan pelancong dan bersedia menawarkan pelbagai pakej dan tawaran menarik bagi pelancong melawat negeri ini,” katanya.

Pengarah Urusan MLS Travel and Tours Ng Kooi Wei pula berkata terdapat lebih 10 destinasi pelancongan menarik yang ditawarkan menerusi pakej pelancongan itu antaranya Sungai Batu, Muzium Arkeologi, Gunung Jerai dan Tanjung Dawai selain Pulau Songsong, Pulau Bidan serta Pulau Telur.

“Kita jangkakan selepas PKP ini, lebih ramai lagi akan datang ke pulau ini selain destinasi lain…buat masa ini pelancong hanya terdiri daripada rakyat Kedah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here