Sekolah akan dibuka semula mulai 1 September

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini. Menurut kenyataan dikeluarkan petang ini, sekolah hanya akan dibuka secara berperingkat-peringkat untuk sesi pembelajaran secara bersemuka mulai 1 Sept.

Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi yang berdaftar dengan KPM, katanya. KPM juga kata kenyataan itu sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisai Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

Sehingga 16 Julai lalu seramai 253,366 orang atau 61.30 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 orang (46.33 peratus) kakitangan sokongan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, kata KPM. Menurut kementerian itu keputusan menyambung PdPR sehingga akhir Ogos dan pembukaan berperingkat pada Sept dibuat dengan mengambil kira kadar vaksinasi berkenaan.

Namun kata KPM lagi mereka akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bagi melihat kemungkinan jadual yang ditetapkan itu diubah. Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal, katanya. Maklumat lanjut mengenai pembukaan semula sekolah untuk sesi bersemuka, kata KPM, akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here