Lipis, Jul 21-
Seorang pemandu lori kontena maut selepas kenderaan berat dipandunya terbabas di Kilometer 7 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Mohd Khairudin Abas Ibrahim, 33, dari Kampung Bukit Merbau Selising, Pasir Puteh, Kelantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati lori membawa muatan kayu pallet itu dari arah Kilang Rainbow Pallet Padang Tengku ke Klang, Selangor.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu kenderaan berat itu terbabas ke kiri bahu jalan dan terbalik.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.