BEKAS DATUK BANDAR JOHOR DIBEBASKAN DENGAN JAMINAN RM50, 000

Johor Bahru, Ogos 16-

Bekas datuk bandar sebuah PBT di negeri ini yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Normadiana Mamat membenarkan permohonan peguam bela bekas datuk bandar berkenaan, iaitu membebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa deposit beserta seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan bekas datuk bandar itu perlu hadir melapor diri pada tarikh ditetapkan ke pejabat SPRM.

Bekas datuk bandar itu diwakili peguam bela Omar Kutty dan Hazza Khalid.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan bekas datuk bandar Iskandar Puteri kira-kira 3 petang pada Rabu lalu di pejabat SPRM Johor.

Beliau yang sebelum ini bertugas sebagai datuk bandar di sebuah lagi PBT negeri itu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah yang sedang dijalankan ketika menjawat jawatan sama di sebuah lagi PBT negeri itu.

Hasil siasatan awal yang dijalankan SPRM mendapati suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan di bawah kendalian sebuah PBT sewaktu beliau menjadi datuk bandar Majlis Bandaraya berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here