Sistem PADU dibuka secara langsung hari ini

Putrajaya, Jan 02.
Pangkalan Data Utama (PADU) akan dibuka secara langsung hari ini selepas hampir enam bulan sistem itu dibangunkan dan melalui beberapa pengujian.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron, berkata sistem itu akan dibuka sehingga 31 Mac 2024 kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu.

Beliau berkata, pengemaskinian itu penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini dan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.

Katanya, pembangunan PADU dilaksanakan secara dalaman oleh Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) tanpa membabitkan perunding luar bagi membina kepakaran dan keupayaan penjawat awam selain pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan keselamatan data terjamin.

Pangkalan data bersepadu ini akan menjadi sumber rujukan berpusat yang mengandungi profil individu yang menyeluruh merangkumi maklumat demografi dan pelbagai maklumat seperti pendidikan, kesihatan, bantuan sosial yang diterima dan pendapatan isi rumah, katanya pada majlis sempena peluncuran PADU di sini, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here