Mayat wanita mangsa rogol dan liwat ditemui tersembunyi di bawah katil

Mayat seorang wanita berusia 40 tahun yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan liwat ditemukan disembunyi di bawah katil di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.

Kejadian menyayat hati itu terbongkar selepas seorang kenalan mangsa pergi ke rumahnya kerana dia tidak datang selepas berjanji untuk berjumpanya pada jam 3 petang. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Lee Chong Chern berkata, saksi berkenaan mendakwa melihat seorang lelaki bermotosikal keluar dari rumah mangsa sebelum dia menghubungi kakak mangsa.

“Semasa pemeriksaan dibuat, keadaan rumah mangsa didapati berselerak dan mayat ditemukan terbaring di bawah katil di dalam bilik tingkat bawah. Selain itu, seorang jiran mangsa turut mendakwa melihat seorang lelaki keluar dari rumah itu dengan menunggang motosikal jenis SYM kira-kira pukul 4.30 petang semalam,” katanya kepada pemberita menurut laporan Utusan Malaysia.

Lee berkata, hasil maklumat berkenaan, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah lampau ketika bersembunyi di Changkat Sungai Jawi di sini. Karanya, hasil siasatan mendapati sehari sebelum kejadian suspek dikatakan pergi menghisap syabu di rumah rakannya di Kampung Wellesley, Sungai Bakap kira-kira pukul 6 petang.

Katanya, suspek kemudiannya meminjam motosikal rakannya untuk bersiar-siar di kawasan taman perumahan itu kira-kira pukul 2 pagi sebelum menceroboh rumah mangsa melalui tingkap di bahagian belakang. Suspek mendakwa telah masuk ke dalam bilik tidur dan nampak mangsa sedang tidur di atas katil sebelum merogol dan meliwatnya,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa menjerit dan melawan sebelum suspek menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan. Suspek kemudiannya mendapat mangsa tidak bergerak dan dia disyaki telah meninggal dunia sebelum menarik mayatnya dan disembunyikan di bawah katil.

Suspek turut mengaku mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket milik mangsa sebelum keluar dari rumah itu, namun telah membuangnya ke dalam sungai, katanya. Beliau berkata, pihak polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap di Nibong Tebal bagi melakukan bedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19 diperolehi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here