PPV WTCKL memecahkan rekod 1 juta dos vaksin di Lembah Klang

Pusat Pemberian Vaksin World Trade Centre Kuala Lumpur (PPV WTCKL) menjadi PPV pertama di Malaysia berjaya mencapai pemberian satu juta dos vaksin kepada penduduk di Lembah Klang.PPV WTCKL mula beroperasi pada 5 Mei lalu di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dibuka khas bagi pengendalian vaksin AstraZeneca, PPV WTCKL berperanan sebagai PPV mega pertama diwujudkan dengan kapasiti awal menampung 8,000 dos sehari, sebelum ditingkatkan kepada 18,000 dos suntikan pada 19 Julai lalu. Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan, berkata pencapaian PPV WTCKL adalah hasil usaha sama antara agensi awam dan swasta membabitkan kira-kira seramai 360 petugas kesihatan dan bukan kesihatan setiap hari.

PPV tersebut diketuai pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibantu oleh 13 penyelaras dan 14 petugas terdiri daripada penjawat awam daripada pelbagai kementerian. ProtectHealth Corporation bertindak sebagai pelaksana bagi penglibatan pengamal perubatan swasta yang dikenali sebagai Health Care Organizer (HCO). Tiga HCO yang terlibat sebagai petugas kesihatan di PPV WTCKL adalah BP Healthcare, Bookdoc dan U.N.I Klinik, katanya dalam kenyataan.

Selain itu, sukarelawan kesihatan terdiri daripada agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengoperasian selama 115 hari sehingga hari ini, para petugas di PPV WTCKL terus komited dan memberi kerjasama yang tinggi sepanjang bertugas, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here