MURID HADIR KE SEKOLAH MENGIKUT SISTEM PENGGILIRAN

Putrajaya, Sept 13–

Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan sistem penggiliran apabila sekolah dibuka semula secara berperingkat mulai 3 Oktober depan mengikut fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sistem penggiliran itu akan menyaksikan kehadiran murid hanya 50 peratus daripada kehadiran keseluruhan bagi sesebuah sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, menerusi sistem itu, kapasiti murid di setiap kelas dapat dikurangkan apabila mereka dibahagikan kepada dua kumpulan.

Menurutnya, langkah itu antara lain bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dan mengelakkan kesesakan ketika penyuraian sekolah.

“Penggiliran mengikut kumpulan itu turut melibatkan kehadiran murid ke sekolah secara mingguan dengan pusingan itu dibuat secara berselang-seli secara berterusan hingga sesi persekolahan berakhir pada 10 dan 11 Disember depan mengikut kumpulan sekolah.

“Contohnya bilangan dalam satu-satu kelas ada 36 orang murid dan mereka dibahagikan mengikut dua kumpulan dengan 18 orang murid setiap kumpulan.

“Kumpulan pertama akan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka manakala kumpulan kedua berada di rumah untuk PdPR sebelum mereka bertukar giliran untuk minggu seterusnya,” katanya pada sidang akhbar pengoperasian sekolah di KPM semalam.

Radzi berkata, buat masa ini, sistem penggiliran itu terpakai kepada murid di sekolah menengah di negeri-negeri Fasa 3 dan Fasa 4 PPN melibatkan murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian dan swasta serta murid kelas peperiksaan antarabangsa lain.

Ujarnya, murid Tingkatan 3 dan 4 di sekolah harian dan swasta di negeri Fasa 4 juga akan hadir secara penggiliran apabila sekolah dibuka mulai 17 Oktober depan dengan pengecualian kepada murid tingkatan sama di sekolah asrama.

“Murid lain yang terlibat penggiliran adalah murid sekolah menengah di sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat,” katanya.

Sistem penggiliran itu, jelas Radzi turut membabitkan murid sekolah rendah di negeri Fasa 4 melibatkan murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) apabila sekolah dibuka mulai 17 Oktober dan murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) mulai 31 Oktober depan.

“Menerusi sistem penggiliran ini, pengawalan murid dapat dibuat dengan lebih efisien kerana guru dapat memastikan murid yang datang ke sekolah mematuhi prosedur operasi standard seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan dalam kelas dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, sesi persekolahan bagi negeri Fasa 2 PPN akan dibuka semula bermula 3 Oktober ini yang hanya melibatkan murid berkeperluan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi sekolah rendah tanpa sistem penggiliran.

“Bagi sekolah menengah pula, semua pelajar masih meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), manakala pelajar Tingkatan 6 semester 2 dan program prauniversiti akan hadir tanpa penggiliran,” ujarnya.

Radzi memberitahu, murid prasekolah dan tadika swasta yang berada di negeri Fasa 3 juga akan memulakan sesi persekolahan bermula 3 Oktober ini.

Bagaimanapun, katanya, bagi murid lain mereka akan meneruskan sesi PdPR.

Radzi memberitahu, sesi persekolahan bagi negeri atau kawasan yang terlibat dengan program ‘travel bubble’ (gelembung pelancongan) seperti Langkawi akan mengikut sesi pembukaan sekolah mengikut Fasa 4.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here