200,000 pelarian Rohingya di Malaysia

அகதிகள்

Walaupun penghentian pengusiran pelarian Rohingya terletak sepenuhnya di bawah kuasa pemerintah di Myanmar namun Malaysia dan negara sependirian perlu berusaha merealisasikan usaha menghentikan pengusiran itu. Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dalam hal itu, Malaysia mengambil langkah untuk terus mengetengahkan isu pelarian Rohingya dalam perbincangan peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Katanya, di peringkat Asean misalnya, Malaysia negara yang paling konsisten dan lantang mengutarakan tentang isu pelarian Rohingya. Malaysia juga menyokong kuat usaha Asean memudah cara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar. Malaysia juga melihat bahawa sekiranya kebertanggungjawaban atau akauntabiliti ke atas pengusiran etnik Rohingya dapat dicapai melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice – ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court – ICC), etnik Rohingya mungkin akan mendapat pembelaan yang sewajarnya dan pengusiran serta pencabulan hak asasi etnik itu boleh dihentikan,katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) ingin tahu kedudukan kerajaan mengenai rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya dan tindakan politik serta kemanusiaan sehala yang kerajaan sedia ambil ke atas rampasan kuasa di Myanmar di luar daripada payung Asean.

Saifuddin menjelaskan jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini sekitar 200,000 dan dalam masa yang sama, pengusiran mana-mana populasi secara paksa adalah tersenarai satu daripada jenayah kemanusiaan dalam undang-undang antarabangsa, khususnya Statut Rome berkenaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman ke atas Genosid 1948.

Beliau turut menjawab soalan tambahan Wong Chen mengenai kesediaan Malaysia secara unilateral memulakan rundingan dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar berhubung isu Rohingya. Saifuddin berkata, Malaysia sentiasa bekerjasama dengan negara Asean dan tidak bergerak sendiri dalam usaha menghentikan pengusiran etnik Rohingya dari Myanmar. Ini kerana Asean mempunyai pengaruh lebih besar bagi mengubah haluan Myanmar untuk kembali ke landasan demokrasi seperti dimandatkan rakyatnya menerusi pilihan raya.

Hasil pertemuan tergempar diadakan di peringkat pemimpin Asean bagi membincangkan isu berkenaan bersama wakil tentera Myanmar pada 24 April lalu, Asean kini sedang melaksanakan Konsensus Lima Perkara seperti dipersetujui, bermula dengan bantuan kemanusiaan untuk Myanmar.

Namun, proses melaksanakan Konsensus Lima Perkara masih diusahakan dengan ‘whatever is humanly possible’ oleh utusan khas (Myanmar) katanya. Saifuddin berkata, Malaysia sentiasa menjadi negara pertama menjalankan libat urus konstruktif bagi menyelesaikan isu Rohingya, walaupun sebelum Myanmar menjadi anggota Asean.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here