Seramai 4,696 kanak-kanak di seluruh negara ini menjadi yatim atau hilang tempat bergantung selepas nyawa ibu, ayah atau penjaga mereka diragut pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, kebajikan golongan itu tidak pernah diabaikan, malah sentiasa dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Malah katanya, daripada 36 institusi kanak-kanak di negara ini, tujuh daripadanya dikhaskan bagi membantu kumpulan kanak-kanak tidak bernasib baik tersebut. Kita menyediakan pelbagai program khusus untuk mereka seperti motivasi dan kaunseling dengan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan bagi memastikan anak-anak ini tidak tercicir dalam pelajaran.
Selain itu, kita menyediakan bantuan di bawah JKM maksimum RM1,000 bagi setiap keluarga katanya kepada pemberita selepas tinjauan dan pemantauan penyampaian perkhidmatan kebajikan di Dabong, di sini hari ini. Siti Zailah menambah, pihak kementerian mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membela nasib kanak-kanak terbabit seperti menyalurkan bantuan zakat.