Zahid, Ab Rauf dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang

Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun bernilai RM10,000 setiap seorang membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Hasil siasatan KKM mendapati, kedua-dua individu itu melanggar arahan SOP Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 iaitu menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka di Masjid Tanah.

Justeru, satu kompaun di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 dikeluarkan.

“Untuk makluman, SOP Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 telah dikeluarkan lebih awal pada 7 November lalu sebagai rujukan agar semua pihak dapat memahami serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ini bagi memastikan pilihan raya dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan COVID-19. KKM akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP, kata kenyataan KKM.

KKM juga menyeru seluruh masyarakat untuk terus patuh kepada arahan SOP, sentiasa prihatin kepada keselamatan rakyat dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 di negara ini. Sebelum ini, tular satu video di media membabitkan dua individu berkenaan yang dilihat berkempen dengan melanggar SOP ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here