4 didakwa bunuh ejen insurans

Seremban: Empat individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang ejen insurans. Ahli perniagaan, S Jeeva, 51; ejen insurans, M Bereamalah, 39; pekerja bebas, M Raja, 35 dan pemandu lori, P Yogan, 25, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh. Menurut pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama menyebabkan kematian ke atas P Rajasegar, 52. Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah pejabat insurans dekat Jalan Lintang di Seremban antara jam 10.30 pagi, 12 November lalu hingga jam 4.45 petang, 2 Disember 2021.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. Hukuman hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau dengan penjara selama 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati dikenakan sebat.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat. Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 26 Januari 2022 untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat, forensik dan kimia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here