Pasukan penyelamat menemui empat lagi mayat dipercayai mangsa banjir di sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kesemua mangsa adalah dua lelaki dan dua wanita manakala bangsa atau warganegara mereka belum dikenal pasti.
Pertambahan empat kematian hari ini menjadikan jumlah terkini korban banjir di Shah Alam adalah 12 orang iaitu tujuh lelaki dan lima perempuan. Kesemua mangsa di hantar ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut kematian mengejut (SDR), katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata seramai 31 orang ditahan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam susulan kejadian pecah dan ceroboh kedai serbaneka di kawasan berkenaan, semalam. Katanya, individu yang ditahan adalah 10 warganegara Indonesia, tujuh Bangladesh, sembilan Nepal dan lima Myanmar. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Polis menasihati orang ramai di kawasan yang terjejas banjir tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang,” katanya.





















