Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman seorang remaja lelaki N. Revnesh Kumar yang didakwa meninggal dunia selepas divaksin pada 16 Januari lalu. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sampel tisu tersebut mungkin perlu dihantar ke luar negara untuk pengujian selanjutnya.
Menurutnya, dalam pertemuan selama 30 minit dengan keluarga mendiang di Putrajaya pada Jumaat, Khairy memaklumkan keluarga remaja terbabit memahami semua penerangan diberikan kepada mereka. Bahkan, jelas Khairy, pasangan suami isteri itu, L. Naresh Kumar dan G. Vijayarani juga bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian anak mereka.
Dalam perjumpaan itu, saya telah memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini siasatan ke atas punca kematian mendiang N. Revnesh dan juga perancangan serta komitmen KKM untuk mengenal pasti punca kematian mendiang.
Hasil dapatan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang telah dijalankan setakat ini, termasuk pemeriksaan Histologi akan dibentang dan dibincangkan dalam kalangan pakar-pakar forensik dalam satu sesi peer-review pada 7 Mac 2022 untuk pengesahan.
Laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan seterusnya akan turut diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas selesai sesi peer-review tersebut, katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pakar Forensik Hospital Serdang, Dr Emizam Mohamadon.