warga emas maut dalam perlanggaran di Rembau

Rembau: Suami isteri warga emas maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 5.6, Jalan Pedas Kundur- Linggi, dekat Kampung Batu 3, Pedas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8 pagi itu mangsa A Munisamy 70 dan L Annapurni 65, parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Pedas.

Berdasarkan siasatan awal, penunggang dan pembonceng motosikal yang juga pasangan suami isteri dipercayai dalam perjalanan menuju ke arah Kundur. Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 mangsa bertembung dengan kereta dari arah bertentangan menyebabkan pasangan itu terjatuh di atas jalan dan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Mayat kedua-dua mangsa yang tinggal di Taman Koperasi, Pedas, di sini, kemudiannya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat, katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini. Beliau berkata, pemandu kereta Kia Rio iaitu seorang wanita berusia 36 tahun dan berasal dari Klang, Selangor tidak cedera. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here