Ikan pias mati: Tiada tumpahan minyak dikesan

Masjid Tanah: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, hari ini mengesahkan tiada tumpahan minyak dikesan di perairan negeri ini yang boleh dikaitkan dengan faktor kematian beribu-ribu ikan pias.

Siasatan awal JAS mendapati, tiada tompokan minyak dikesan di pinggir pantai atau tengah laut di perairan Melaka dan maklumat sama turut diberikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Pengarah JAS negeri, Rosli Osman berkata, setakat ini hanya ikan pias yang ditemukan terdampar di pantai membabitkan kawasan sepanjang kira-kira tiga kilometer (km) dari pantai Sungai Tuang ke Telok Gong, dekat sini, semalam.

Jika berlaku tumpahan minyak, ikan jenis lain pun terjejas dan kemungkinan boleh mati, tetapi dalam kes ini, hanya ikan pias yang ditemukan mati. Kami bekerjasama dengan Jabatan Perikanan negeri dalam siasatan kes itu, katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon berkata, jabatan itu masih menjalankan analisis terhadap contoh bangkai ikan pias diambil di pantai berkenaan, semalam. Beliau berkata, analisis secara tepat perlu dijalankan sebelum pihaknya memberikan ulasan mengenai faktor kematian ikan pias.

Menurutnya, ikan pias adalah spesies ikan yang bergerak secara berkumpulan dan sering bermain di permukaan laut. Sementara itu, tinjauan di pantai Sungai Tuang dan Telok Gong, hari ini mendapati jumlah ikan yang terdampar semakin berkurangan berbanding semalam.

Ribuan bangkai ikan berkenaan dipercayai sudah dibawa ombak ke tengah laut atau tertanam dalam pasir setiap kali dipukul ombak besar, malam tadi. Semalam, media melaporkan beribu-ribu ikan pias ditemukan terdampar di pantai berkenaan sejak 4 petang hingga lewat petang.

Ia menyebabkan pengunjung pantai tidak mandi-manda di pantai berkenaan kerana bangkai berkenaan busuk. Bagaimanapun, hanya spesies ikan pias yang ditemukan mati dan spesies ikan lain tidak ditemukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here