Alor Gajah: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dihempap tiang batu botol di Kampung Bukit Nangka, dekat sini petang semalam. Dalam kejadian jam 7 malam itu, Nur Iman Irdina, 4, ditemui berlumuran darah oleh ibunya, Aznynaqiah Mat Ali 44, di beranda rumah keluarga.
Aznynaqiah berkata, sebelum kejadian Irdina bermain seorang diri di kawasan beranda itu dan dia ketika itu sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur. Arwah memang suka bermain di kawasan beranda itu dan semalam dia bermain seorang diri sementara abang dan kakaknya berada tidak jauh daripada arwah.
“Ketika itu saya sedang menyiapkan juadah untuk berbuka sebelum terdengar bunyi kuat seperti runtuhan. Saya berlari ke depan rumah dan ternampak arwah sudah dihempap tiang batu botol,” katanya.
Menurutnya, tiang batu botol itu memang sudah retak dan dia bercadang membaikinya namun tidak menyangka keadaan itu meragut nyawa anak bongsu daripada lima beradik itu. Aznynaqiah berkata, dia bersama adik dan ibunya bergegas membawa Irdina ke Hospital Alor Gajah.
Doktor berusaha menyelamatkannya namun Allah SWT lebih menyayanginya selepas doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia, katanya sebak. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan proses bedah siasat sedang dijalankan.