Belasah pelajar, 4 didakwa esok

Seremban: Empat pelajar sekolah menengah di Sikamat, di sini, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban esok selepas disyaki terbabit dalam kejadian mencederakan seorang pelajar tingkatan satu pada tengah malam 13 Mei lalu.

Difahamkan, tiga daripada mereka adalah pelajar tingkatan empat dan seorang lagi adalah pelajar tingkatan tiga yang tinggal di asrama sekolah terbabit. Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof ketika dihubungi hari ini. Penama akan dituduh pada hari Isnin (esok), 23 Mei ini di Mahkamah Majistret Seremban.

Berdasarkan maklumat, mereka akan dituduh dan selepas itu akan diberi jaminan untuk laporan akhlak sebelum tarikh baru ditetapkan untuk dijatuhkan hukuman, katanya ringkas.

Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan manakala seorang lagi pelajar tingkatan lima akan memberi keterangan sebagai saksi. Empat pelajar terbabit ditahan jam 7 petang Jumaat lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang pelajar tingkatan satu di sekolah terbabit disepak, dipukul dan ditampar pelajar ‘senior’ sehingga lebam dan menyebabkan tulang pada pergelangan tangan retak. Difahamkan, remaja berusia 13 tahun berkenaan dipanggil pelajar ‘senior’ kira-kira jam 12 tengah malam pada 13 Mei lalu ke sebuah bilik di asrama kerana dikatakan membuat masalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here