OKU dipijak rakan meninggal dunia

Sungai Petani: Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang parah dipukul dan dipijak dua penghuni lain di pusat penjagaan mental Ahad lalu, meninggal dunia, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berusia 49 tahun meninggal dunia jam 4.02 pagi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), dekat sini.

Berikutan kematian mangsa, kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) akan dipinda ke Seksyen 302 KK kerana membunuh.

Bagaimanapun, setakat ini kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan suspek akan ditahan dalam tempoh terdekat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa yang tidak sedarkan diri akibat dibelasah dua penghuni pusat penjagaan mental menerima rawatan di Zon Merah HSAH.

Siasatan polis mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati dua penghuni terhadap mangsa yang memijaknya ketika sedang tidur di lantai bilik.

Mangsa kecederaan mengalami kecederaan pinggang serius dengan terdapat kesan lebam dari bawah hingga betis dan tulang kaki kanannya patah. Zaidy berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here