Tertekan hilang kerja punca lelaki lepas geram pecahkan cermin kereta jiran

Tertekan kerana hilang kerja dan marahkan jirannya yang didakwa kerap membuat bising, seorang penganggur bertindak memecahkan cermin kereta milik jirannya itu dengan sebatang kayu di Taman Puchong Perdana, Puchong dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pemilik kereta iaitu seorang suri rumah berusia 20 tahun terdengar bunyi bising sebelum ternampak jiran lelaki sedang memecahkan kesemua cermin keretanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata berikutan aduan diterima, polis menahan suspek di tempat kejadian dan merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berpunca akibat suspek mengalami tekanan jiwa selepas hilang pekerjaan selain melepaskan geram kerana jirannya selalu membuat bising. Suspek sudah pun dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Jumaat lalu.

Dia mengaku salah terhadap pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,300, katanya dalam kenyataan, hari ini. Bagaimanapun, katanya, lelaki itu gagal membayar denda yang ditetapkan mahkamah, justeru dia ditahan di Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara enam bulan.

Terdahulu, tular satu rakaman video kejadian itu di media sosial menunjukkan seorang lelaki sedang memecahkan cermin sebuah kereta dengan sebatang kayu. Menerusi rakaman video berdurasi 45 saat itu, suspek dilihat hanya berseluar tiga suku tanpa memakai baju ketika berbuat demikian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here