Kuala Lumpur: Lelaki yang dipercayai mendera anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, di sini, ditahan polis, semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan berkata, lelaki berusia 31 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Jinjang, Sentul.
Polis akan memohon perintah reman di mahkamah, esok, katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menerima maklumat berhubung penderaan kepada bayi perempuan berusia dua tahun. Saralathan dipetik berkata, berdasarkan maklumat suspek dipercayai memukul mangsa kerana dikatakan boleh.
Dia didakwa memukul hingga mangsa bengkak pada bibir dan lebam kedua-dua mata serta bahagian belakang badan. Kejadian dilapor berlaku di rumah dihuni suspek dan teman wanitanya sebelum bayi itu kemudian dihantar ke rumah keluarga wanita terbabit di Taman Setapak Jaya.
Difahamkan ketika kejadian ibu mangsa ada bersama anaknya namun tidak melawan suspek.