Pengurus projek rugi RM400,000

Taiping, Sep 11.
Seorang pengurus projek di sebuah syarikat swasta kerugian hampir RM400,000 apabila diperdaya lima lelaki yang menyamar sebagai pihak polis dan penghantar barangan. Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mangsa seorang wanita berusia 57 tahun yang mendakwa diperdaya melalui ‘phone scam’, membuat laporan polis semalam.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati pada 18 Ogos lalu mangsa menerima satu panggilan dari seorang lelaki dari syarikat penghantar barangan dari Alor Setar, Kedah yang memaklumkan terdapat barangan yang dihantar individu yang tidak dikenali dari Sarawak pada 11 Ogos lalu.

Beliau berkata, lelaki memaklumkan bungkusan itu mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan, kad kredit dan 100 keping wang palsu sebelum panggilan disambungkan kepada empat lagi lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis Alor Setar dan pegawai polis berpangkat Datuk dari Bukit Aman.

Mangsa yang cemas diminta mendedahkan kesemua maklumat peribadi termasuk akaun bank, malah turut diminta membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 yang diarahkan dipindahkan kepada dua akaun lain, katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, mangsa kemudian menyedari terdapat pindahan wang miliknya ke dalam 11 akaun berbeza melalui 18 transaksi berjumlah RM381,950 bermula 18 Ogos hingga 6 September lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here