Kuala Lumpur, Okt 14.
Peruntukan RM100 juta kepada Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan dibelanjakan secara efektif dan berintegriti melalui pelbagai inisiatif strategik yang akan memberi keutamaan kepada golongan B40 dan M40.
Pengerusi MITRA, Datuk R Ramanan, berkata beliau akan menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan peruntukan dana MITRA dalam Belanjawan 2024 dapat memberi impak yang optimum kepada pembangunan sosiekonomi masyarakat India.
Belanjawan Madani memperuntukkan dana RM100 juta untuk MITRA bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Kerajaan juga menyediakan dana keusahawanan serta pendidikan (penyelenggaraan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Selain itu ruang untuk masyarakat India menikmati pembangunan ekonomi tersedia di semua kementerian, katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 apabila memperuntukkan RM393.8 bilion sekali gus menjadi belanjawan tertinggi pernah dibentangkan setakat ini.