Lelaki, teman wanita dituduh dera anak

Johor Bahru, Okt 23.
Seorang pemandu van kilang dan teman wanitanya mengaku tidak bersalah dih Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dakwaan mengabai dan menyebabkan kecederaan kepada anak kandung lelaki

R Thayalan, 37, dan teman wanitanya, K Mageswari, 39 didakwa di hadapan Hakim Fatimah Zahari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, pemandu van dan kekasihnya itu yang ditahan polis pada 13 Oktober lalu, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.Thayalan dan Mageswari didakwa melakukan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sekitar Julai hingga 12 Oktober lalu di sebuah premis dekat sini sehingga menyebabkan budak itu mengalami kekurangan zat makanan atau mulnutrisi.

Dalam pertuduhan berasingan, Mageswari mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kecederaan fizikal pada bahagian tangan kanan mangsa sama di lokasi dan pada masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya dan Umar Faiz Abdul Kohar, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Fatimah menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes dan ikat jamin RM6,000 ke atas setiap tertuduh, selain memerintahkan mereka melapor diri sebulan sekali di balai polis dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah .

Budak lelaki berkenaan kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah , di sini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here