Cegah ketirisan dalam Mitra – kata sayap PAS

Kuala Lumpur, Dis 28.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, N. Balasubramaniam menepis perdebatan mengenai susun atur Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), mengatakan perkara lebih mustahak ialah pengurusan dana secara bertanggungjawab dan telus.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa pertama sekali kebimbangan masyarakat berhubung dana Mitra ialah isu ketirisan. Justeru, beliau mencadangkan kerajaan menerbitkan laporan perbelanjaan Mitra di suatu laman web untuk tatapan orang ramai.

“Letak bawah Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Perpaduan itu tak jadi isu untuk diperdebatkan tapi yang penting bagaimana duit itu nak disalurkan supaya sampai kepada golongan sasar,” katanya.

“Tiada guna sekiranya Mitra diletak bawah JPM atau kementerian namun dana itu tidak sampai kepada kumpulan sasar dan berlaku pelbagai ketirisan.”

Balasubramaniam juga mencadangkan laporan itu patut melaporkan perbelanjaan oleh NGO yang diamanahkan dengan dana Mitra.

“Berapa jumlah telah digunakan disiarkan secara terbuka melalui laman web supaya orang ramai boleh melihat mana duit itu digunakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here