Lebih 28,000 mangsa banjir berlindung di 137 PPS

Kuala Lumpur, Dis 28.
Jumlah mangsa banjir di lima negeri mencatatkan peningkatan kepada 28,032 orang pagi ini berbanding 25,763 orang malam tadi, ditempatkan di 137 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kelantan kekal mencatatkan mangsa banjir paling ramai, iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat daripada 19,423 orang pada 8 malam tadi.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 6,289 orang yang berlindung di 59 PPS pagi ini, berbanding 5,983 orang di 60 PPS malam tadi.

Pahang turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa pagi ini kepada 214 orang yang berlindung di lima PPS di Jerantut, Kuantan, Lipis dan Cameron Highlands, berbanding 206 mangsa malam tadi.

Di Sabah, 31 mangsa ditempatkan di dua PPS di Pitas setakat 6 pagi ini, meningkat sedikit daripada 30 orang pada 8 malam tadi.

Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa tidak berubah dengan 121 mangsa masih berlindung di tiga PPS di daerah Mersing dan Segamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here