Ibu, anak antara 3 ditahan disyaki edar dadah RM1.23 juta

Johor Bahru, Jan 17.
Ibu dan anak antara tiga individu ditahan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah RM1.23 juta dalam serbuan sekitar daerah ini dan Iskandar Puteri, pada 10 hingga 14 Jan.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata wanita berusia 61 tahun dan anak lelaki berusia 40 tahun serta seorang rakan lelaki berusia 59 tahun itu, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dalam satu operasi khas.

Beliau berkata, ketiga-tiga individu itu dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dalam pasaran tempatan, sejak Oktober tahun lalu.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan sebuah pangsapuri yang disewa di sini sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

“Malah, sindiket yang dipercayai didalangi lelaki berusia 40 tahun itu, turut melakukan kerja memproses dan membungkus dadah tersebut,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here