Pokok Sena, Sik, Baling paling panas

Alor Setar, Feb 5.
Tiga daerah di Kedah iaitu Pokok Sena, Sik dan Baling mengalami cuaca panas pada tahap satu (berjaga-jaga) sejak semalam, sekali gus menjadikan ia lokasi paling panas di Semenanjung pada masa ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, berkata suhu maksimum harian di daerah terbabit pada masa ini antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut sejak semalam.

Katanya, keadaan cuaca panas ini dijangka berlarutan hingga hujung Mac atau awal April depan apabila fasa peralihan monsun berlaku. Susulan itu, beliau menasihatkan aktiviti pembakaran terbuka dielakkan kerana tidak sesuai dilakukan pada musim kering yang menyebabkan haba panas ketika ini. “Sejak semalam, daerah Pokok Sena, Sik dan Baling menjadi lokasi cuaca paling panas di Semenanjung dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

“Disebabkan keadaan itu, kita menasihatkan orang ramai mengelak daripada terdedah dengan cuaca panas bagi menjaga kesihatan, selain elak melakukan pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here