Kuala Lumpur, Mac.
Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati penggunaan vape atau rokok elektronik menampakkan trend peningkatan termasuk dalam kalangan wanita, Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata perkara itu dikesan berdasarkan kajian komprehensif yang dijalankan KKM ketika ini, dan kajian itu turut menyediakan data prevalen antaranya mengenai penggunaan vape.
Data prevalen itu memang menunjukkan berlaku peningkatan prevalen tentang penggunaan vape, terutamanya memandangkan vape ini dianggapkan satu produk yang semakin kuat dipromosikan oleh pihak industri.
“Prevalen kami turut mengesan berlaku peningkatan penggemar vape dalam kalangan wanita. Data pada 2017, prevalen adalah 2.8% dan pada 2022, prevalen menunjukkan peningkatan 6.2%,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.





















