Suri rumah buat laporan palsu diragut kena denda RM1,200

Kuala Lumpur, Jun-
Mahkamah Majistret, di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM1,200 ke atas seorang suri rumah yang mengaku membuat laporan polis palsu bahawa dia diragut dua individu sehingga menyebabkan kerugian lebih RM700,000.

Majistret Aina Azahra Tun Ariffin memerintahkan Karen Lee Chy Na, 35, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Lee didakwa memberi maklumat palsu kepada Koperal Muhammad Sharil Zainal Abidin bahawa dia diragut oleh kedua-dua individu yang kemudian melarikan diri dengan pasport miliknya dan tiga utas jam tangan bernilai RM779,000.

Mengikut pertuduhan, perbuatan tertuduh menyebabkan Inspektor Ahmad Souffi Mohd Shaffei menjalankan kuasa menyiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Travers, Brickfields, di sini pada jam 11.20 pagi 10 Jun lalu, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here