Nibong Tebal, Jun-
Seorang maut, manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 155.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Sungai Bakap, di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.36 pagi.
Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang dinaiki dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun dengan bas ekspres.
“Dua mangsa tersepit di ruang pemandu dan penumpang. Anggota menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mereka berdua dalam kenderaan terbabit.
“Mangsa berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi, manakala seorang lagi cedera di muka,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk proses bedah siasat dan mangsa cedera dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.