Silap besar singkir Mohan, bekas ketua MIC beritahu parti

Kuala Lumpur, Julai-
Perwakilan MIC telah melakukan kesilapan besar dengan menyingkir bekas naib presiden  T.Mohan kerana beliau adalah antara segelintir pemimpin kanan yang mempunyai semangat untuk masyarakat, kata bekas presiden parti Dr S. Subramaniam.

Sambil menyatakan rasa ‘terkejut dan kecewa’ dengan perkembangan berkenaan, bekas menteri itu berkata Mohan telah memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat India, khususnya untuk sekolah Tamil.

“Beliau juga secara bersendirian membangunkan Persatuan Bola Sepak India Malaysia menjadi sebuah entiti sukan yang berkuasa, membolehkannya menjadi naib juara Liga Perdana Malaysia sekali,” katanya kepada FMT.

Subramaniam menyuarakan harapan agar pemimpin dan ahli MIC memastikan Mohan tidak meninggalkan parti, sambil berkata bekas naib presiden itu baru berusia 51 tahun dan masih banyak yang boleh disumbangkannya.Beliau berkata, semasa menjadi ketua parti, beliau sendiri pernah melihat Mohan membela masyarakat India apabila berdepan dengan pengusiran atau pemusnahan kuil Hindu.

“Parti amat memerlukan pemimpin yang lebih berkesan yang didorong oleh semangat untuk memperbaiki masyarakat. Kekalahan Mohan adalah satu kehilangan besar kepada parti dan masyarakat kerana dia seorang yang mempunyai semangat yang tinggi untuk masyarakat India.

“Dalam banyak isu berkaitan masyarakat, dia berada di barisan hadapan. Apabila sebuah kuil Hindu sedang dirobohkan, Mohan berada di sana mengetuai penunjuk perasaan,” kata Subramaniam, yang merupakan presiden MIC dari Jun 2015 hingga 2019.

Mengimbas kembali kejadian membabitkan sebuah kuil di Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur, Subramaniam berkata beliau dan pemuda lain telah ditahan di stesen Dang Wangi.

“Saya terpaksa pergi ke stesen pada tengah malam untuk membantu mengeluarkan mereka. Di sebalik semua sumbangannya kepada parti, perwakilan membalasnya dengan kekalahan. Saya terkejut dan marah.”

Pada Ahad, Mohan kalah dalam perebutan satu daripada tiga jawatan naib presiden kepada M. Asojan, T. Murugaiah dan R. Nelson, biarpun menjadi pilihan selepas memenangi jawatan itu dengan undian terbanyak pada pemilihan 2021.

Mohan, yang merupakan naib presiden dari 2018, mendakwa presiden MIC SA Vigneswaran telah berkempen untuk Nelson walaupun menjadi pengerusi pemilihan parti, dan berkata beliau sepatutnya berkecuali berikutan kedudukannya.

Vigneswaran mengakui memberi sedikit sokongan kepada Nelson kerana dia ‘tidak setanding’ dengan yang lain, tetapi menafikan memainkan sebarang peranan terhadap kekalahan Mohan.

Selain tiga naib presiden yang dipilih, ketua parti akan melantik dua lagi. Bagaimanapun, Mohan berkata beliau tidak akan menerima sebarang pelantikan sebagai naib presiden jika ditawarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here