Shah Alam, Jun-
Plak Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur tidak dimusnahkan atau dibuang seperti yang didakwa, sebaliknya disimpan dengan baik oleh pengurusan baharu, LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).
Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata, tindakan berkenaan diambil berdasarkan pertimbangan keselamatan, pematuhan korporat dan semangat memelihara warisan Menara Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihak pengurusan baharu Menara Kuala Lumpur ingin memberikan penjelasan bagi memperbetulkan persepsi dan mengelakkan kekeliruan orang awam terutamanya dari aspek keselamatan pengunjung.
“Plak berkenaan sebenarnya berfungsi sebagai penutup kepada ruang khas penyimpanan kapsul masa. Selepas kapsul masa dibuka, ruang plak tersebut telah dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang kandungan.
“Struktur plak tersebut tidak lagi dapat ditutup rapat seperti asal dan boleh mengakibatkan risiko kecederaan kepada pengunjung yang melalui kawasan itu.
“Maka, ia dialih atas faktor keselamatan, sejajar dengan keutamaan pihak pengurusan terhadap kesejahteraan semua pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

























