Wajibkan majikan swasta beri kenaikan gaji tahunan – MTUC

Kuala Lumpur, Ogos-
Kerajaan disaran meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) bagi memasukkan peruntukan khusus mewajibkan pihak swasta membuat penstrukturan gaji, termasuk kenaikan upah tahunan.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Maktar Siwang, berkata cadangan pindaan itu bertujuan menjamin terdapat pergerakan kadar upah kakitangan swasta secara tahunan.

Ini kerana, katanya, ketiadaan peruntukan sedemikian mengakibatkan ramai kakitangan swasta menerima kadar upah statik dengan ada sebahagian yang berlarutan bagi jangka panjang. “Terdapat kakitangan swasta yang bekerja melebihi 10 tahun tetapi masih menerima gaji RM1,700 sebulan dan kadar upah berkenaan tidak setimpal dengan tempoh perkhidmatan mereka.

“Malah, ada syarikat yang mendapat keuntungan tinggi tetapi hanya menumpukan kenaikan kadar upah kepada pengurusan tertinggi berbanding gaji pekerja bawahan sehingga jurang gaji melebihi 100 kali ganda. “Justeru, dalam usaha menyampaikan mesej kepada syarikat swasta supaya menaikkan gaji perlu disertakan dengan arahan jelas dan tegas,” katanya kepada BH, hari ini.

PM saran majikan swasta naikkan gaji kakitangan

BH semalam, melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan majikan sektor swasta mengikut langkah kerajaan dalam memastikan agihan pendapatan lebih adil kepada kakitangan, jika syarikat mencatat kadar keuntungan yang tinggi.

Perdana Menteri berkata, pemberian bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam bernilai RM2,000 kepada semua penjawat awam dan lantikan kontrak diumumkan dalam Belanjawan 2024, sebagai isyarat jelas kepada sektor swasta berhubung saranan itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mendedahkan menerima banyak aduan daripada kakitangan swasta yang menerima gaji dan bonus kecil, meskipun syarikat mencatat keuntungan mencecah jutaan ringgit setiap tahun.

Mengulas saranan Perdana Menteri supaya gaji pekerja swasta turut dinaikkan, Maktar berkata saranan itu membuktikan keprihatinan Perdana Menteri ke atas semua golongan pekerja di negara ini.

Beliau menyifatkan saranan Anwar supaya kadar upah sektor swasta di kaji semula bagi mengimbangi tekanan dihadapi rakyat dan golongan pekerja dengan memberi skim kenaikan gaji lebih munasabah sebagai gesaan yang adil dan bersifat ihsan kepada pekerja.

“MTUC yakin dan percaya saranan Anwar mengenai kenaikan gaji pekerja adalah daripada hati nurani seorang pemimpin yang inginkan tenaga kerja mendapat limpahan daripada keamanan negara.

“Pemakluman kenaikan gaji sektor awam membawa kekecewaan kepada pekerja swasta yang sedang bergelut dengan gaji amat rendah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here