Seremban, Ogos-
Seorang lelaki maut dilanggar ketika sedang menunggu bantuan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Isnin.
Kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Cyberjaya menghala ke Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, sebelum itu kereta Perodua Myvi dipandu mangsa telah terbabas dan melanggar besi penghadang bahu kiri jalan.
“Mangsa kemudian turun dan berhenti di sebelah kiri jalan untuk menunggu bantuan.”Namun selang beberapa minit, sebuah kereta Proton Persona yang berada di lorong kanan telah terbabas dan berpusing masuk ke lorong kiri lalu melanggar mangsa dan keretanya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah di perut dan kaki serta disahkan maut di lokasi kejadian.Pemandu Proton Persona lelaki berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan .





















