Bukit Mertajam, Nov-
Polis menahan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Bukit Tengah pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata lelaki berusia 51 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saringan awal ujian air kencing dan alkohol mendapati lelaki itu negatif dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat di Majistret Mahkamah Bukit Mertajam, di sini esok.
Pihak polis memohon saksi yang melihat kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat dan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Shahid Othman di talian 017-2670543 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan
.
Terdahulu, seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh daripada sebuah treler dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah di sini.
Mangsa yang maut, Lee Zi Rou, 21, memandu kereta Perodua Bezza manakala Tan Chou Theng, 25, yang cedera parah merupakan pemandu Honda Jazz.




















