Banjir di Kelantan makin buruk

Kota Bahru, Nov-
Keadaan banjir di Kelantan makin buruk apabila jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 9,868 orang sehingga jam 3 petang ini, berbanding 3,844 orang pagi tadi.

Semua mangsa membabitkan 3,020 keluarga itu ditempatkan di 89 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa berada di 16 PPS di Pasir Mas, 15 PPS di Kuala Krai, masing-masing 14 PPS di Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Puteh, enam PPS di Machang, masing-masing empat PPS di Bachok dan Jeli serta dua PPS di Tumpat.

Jumlah mangsa banjir paling ramai di daerah Pasir Mas iaitu 2,290 orang membabitkan 734 keluarga diikuti Pasir Puteh (1,605 orang, 530 keluarga); Kota Bharu (1,570 orang, 484 keluarga); Kuala Krai (1,347 orang, 402 keluarga); Tanah Merah (815 orang, 255 keluarga); Tumpat (691 mangsa, 186 keluarga); Bachok (600 orang, 148 keluarga); Jeli (544 orang, 146 keluarga) dan Machang pula 406 mangsa daripada 135 keluarga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here