Kuala Lumpur, Dis-
Kementerian Pertahanan menafikan laporan akan mengekalkan kadar elaun RM8 sehari kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula Januari ini.
Menteri Khaled Nordin berkata, sebaliknya kerajaan hanya menyediakan elaun perjalanan pergi dan balik peserta sahaja.
Namun, beliau tidak memaklumkan kadar elaun perjalanan akan dibayar kepada mereka.
“Elaun seharian setiap hari itu memang tidak ada perbincangan (dan) persetujuan.
“Sebenarnya, elaun kerajaan sedia tampung ialah tuntutan perjalanan dan tidak kepada elaun setiap hari mengikuti latihan PLKN,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Semalam, Kementerian Pertahanan dilaporkan mengekalkan kadar elaun RM8 sehari kepada peserta PLKN 3.0 yang akan bermula Januari ini.
Laporan itu menyebut setakat ini belum ada keperluan untuk menaikkan kadar elaun berkenaan.
Sementara itu, Khaled berkata secara purata kerajaan membelanjakan RM64 sehari bagi seorang peserta PLKN 3.0 untuk makan, minum, penginapan dan segala keperluan mereka.
Ditanya mengenai kebimbangan berlaku buli dalam PLKN 3.0, Khaled berkata kes itu berlaku jika wujud senior dan junior.
“Tidak ada istilah senior atau junior yang akan menyertai program (PLKN). Peserta PLKN ini datang pada sama masa,” katanya.