Kuala Lumpur, Jan-
Polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang itu disyaki melakukan kesalahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata hak itu termaktub dalam Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang.
Perkara itu dibenar berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Seksyen 249 AKM memberi kuasa untuk mendapatkan akses kepada data berkomputer, termasuk telefon bimbit.
“Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa untuk mengakses telefon bimbit yang ditakrifkan juga sebagai data berkomputer, ketika membuat pemeriksaan ke atas seseorang yang disyaki melakukan apa jua kesalahan jenayah.
“Namun, kuasa memeriksa ini diberikan kepada pegawai polis tidak rendah daripada pangkat inspektor,” katanya ketika dihubungi.



















