Dirempuh ketika singgah gerai tepi jalan – Warga emas maut!

Kuala Lumpur, Feb-
Seorang wanita warga emas meninggal dunia akibat cedera di kepala setelah dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Tangga Batu, Melaka semalam.

Mangsa, Zainah Abdul Latif, 65, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Melaka pada 8.15 malam.

Sebelum itu, pada kira-kira 4.45 petang, Zainah bersama suaminya berusia 68 tahun menghentikan Proton Saga dinaiki mereka di bahu jalan untuk singgah di gerai air tebu berhampiran.

Pada masa sama, sebuah Proton Persona dari arah Balai Bomba Tangga Batu menghala ke arah Tangga Batu dipercayai mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang memasuki laluannya, menurut Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit.

Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandu pesara kastam berusia 70 tahun itu merempuh Proton Saga dinaiki mangsa dan suaminya yang berhenti di bahu jalan sebelah kiri,” katanya.

“Ketika itu pula, penumpang Proton Saga (Zainah) hendak keluar dari keretanya dan rempuhan terbabit menyebabkan kenderaan itu terperosok ke hadapan sebelum melanggar pula Perodua Kancil yang turut diletakkan di situ dan sebuah gerai.”

Akibat rempuhan itu, Zainah yang juga suri rumah cedera di kepala, manakala pemilik Perodua Kancil mengalami luka di kepala.

Menurut Christopher, pemandu Proton Persona dan Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here