Nilai, Feb-
Persiapan membuat jualan secara siaran langsung dalam aplikasi TikTok, bertukar malang apabila sebuah premis karpet dekat Pusat Borong Nilai 3 di sini, hangus dijilat api, jam 7.45 pagi tadi.
Pengarah urusan perniagaan karpet itu, J. Rajesh, berkata ketika kejadian dia sedang berada di rumah sebelum menerima panggilan daripada pengawal keselamatan.
“Sebelum itu saya sudah beritahu kepada pekerja itu supaya memasang suis utama bagi persediaan membuat ‘live’ TikTok apabila kedai dibuka jam 8 pagi nanti.
“Tiba-tiba dia hubungi saya dan maklumkan ada terdengar bunyi pelik ketika buka suis utama, jadi saya minta dia supaya keluar dan pantau keadaan,” katanya kepada media.
Jelasnya, daripada makluman pekerjanya, ada orang awam dari seberang jalan menjerit kepada pengawal keselamatan itu yang memberitahu terdapat asap keluar daripada kedai sebelum dia segera hubungi bomba.
Beliau berkata, pihaknya baru sahaja menambah bekalan karpet sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Aidilfitri, namun semuanya hangus dijilat api dan terpaksa menanggung kerugian dianggarkan bernilai RM30 juta.
“Memang terkejut dengan kejadian kerana kami baru ambil banyak karpet. Apapun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku pekerja belum masuk bekerja,” katanya menggajikan 50 kakitangan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata, kebakaran menyebabkan kedai dan gudang karpet itu musnah 100 peratus.




















